Baru-baru ini, kenyataan Menteri Besar N.Sembilan mengenai cadangan mewujudkan sebuah klinik wakaf disetiap daerah di negeri ini merupakan agenda bernas dan sesuatu hal yang dialu-alukan oleh setiap masyarakat di negeri ini.
Apa yang diketahui penubuhan klinik wakaf ini adalah satu program amal yang dilaksanakan pihak Hospital Pakar Seremban KPJ dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Terdahulu, KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) menerusi anak syarikatnya Waqaf An-Nur Corporation (WANCorp) merancang membuka klinik wakaf baru di Rembau tidak lama lagi. Usaha ini bagi meningkatkan lagi perkhidmatan dan memastikan lebih ramai golongan berpendapatan rendah mendapat rawatan kesihatan yang sempurna dengan kadar caj rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Seremban (SSH) yang juga anak syarikat KPJ Healthcare, Abd Aziz Abdul Rahman, berkata, pihaknya dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) bersetuju membuka klinik berkenaan di kawasan terbabit.
Pembukaan cawangan baru itu bertujuan meluaskan lagi perkhidmatan rawatan kesihatan dan haemodialisis kepada orang ramai terutama berpendapatan rendah.
Usaha yang dilakukan ini adalah untuk memastikan masyarakat di kawasan kampung berpeluang mendapatkan rawatan di klinik wakaf berkonsepkan amal jariah bagi meringankan beban orang ramai terutama pesakit buah pinggang yang mengeluarkan belanja besar jika mendapatkan rawatan di klinik lain.
Rangkaian Klinik Wakaf An-Nur kendalian syarikat SSH hanya mengenakan kadar bayaran serendah RM5 bagi rawatan biasa manakala RM90 bagi rawatan pesakit buah pinggang. Klinik Wakaf An-Nur berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan terbaik dan sama seperti klinik kesihatan lain.
Kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Seremban Specialist Hospital mencetuskan idea tersebut memberi hembusan kelegaan rakyat negeri ini yang akhirnya mendapat perhatian pemimpin dan kerajaan dengan penderitaan yang ditanggung.
Tiadalah ungkapan lain yang dapat diluahkan oleh mereka yang menanggung derita sakit buah pinggang selain terima kasih yang tidak berkesudahan kepada kerajaan yang benar-benar mengambil berat dengan kebajikan rakyat tanpa mengenal agama, bangsa waima fahaman politik mereka kerana menurut Pengerusi Majlis Agama Islam N.Sembilan, setiap pertolongan yang diberi di ikuti dengan niat yang ikhlas.
Namun, masih ramaikah insan-insan diluar sana merenung walau sejenak jasa dan budi kerajaan yang berkebajikan ini?
Semestinya usaha murni sebegini akan diterima pakai oleh semua pihak apabila kesakitan datang menyerang. Namun, sejauh manakah keikhlasan kita membalas budi kepimpinan kerajaan yang tidak mengenal erti penat, tidak hirau jika di umpat dan tidak mengalah dalam berkhidmat.
Dari dahulu hingga kini, walau siapapun yang menjadi pengganti dalam menguruskan tanggungjawab negeri, belum pernah kita melihat luasnya kebajikan yang dinikmati. Antara faham ataupun tidak, inilah tugas seorang pemimpin yang berpegang pada janji.
Klinik Wakaf An-Nur sememangnya relevan diwujudkan memandangkan ianya membuka ruang kepada rakyat di N.Sembilan ini mendapatkan khidmat perubatan yang murah dan mampu selaras dengan konsep gagasan 1 Malaysia, ‘Rakyat Di Utamakan- Pencapaian Di Dahulukan’.
Demikianlah juga ceritanya dengan perihal zakat. Menurut pemimpin yang dekat dihati rakyat itu, Pusat Zakat N.Sembilan (PZNS) memandang serius isu pembayaran zakat di negeri ini. Kita juga telah dihidangkan dengan berbagai agenda dan perancangan pihak MAINS dalam memberi zakat kepada yang berhak. Namun sayang seribu kali sayang, masih ada jua insan-insan berotak beku yang berani memainkan isu zakat ini.
Baru-baru ini, Baitulmal Negeri telah mengkhabarkan berita gembira kepada rakyat mengenai kenaikan bantuan zakat fakir miskin di mana seramai 5,406 penerima asnaf fakir dan miskin di negeri ini bakal menerima faedah apabila bantuan zakat akan dinaikkan berdasarkan keperluan mereka.
Kadar wang sumbangan buat masa ini adalah sama bagi semua penerima asnaf fakir dan miskin iaitu RM100 sebulan dan Baitulmal dapat mengesan ada banyak faktor dan sebab jumlah itu perlu ditambah.
Kenaikan jumlah sumbangan ini adalah wajar pada masa ini berikutan setiap orang menanggung tanggungan yang berbeza serta memerlukan keperluan yang berbeza-beza.
Selain itu, Baitulmal kini mengambil langkah untuk turun sendiri bertemu dengan penerima asnaf fakir dan miskin dalam usaha untuk terus mengekalkan interaksi bersama mereka dan juga sebagai langkah untuk memperoleh maklumat terkini secara terus berkenaan penerima asnaf sejajar dengan kehendak YAB Menteri Besar yang mahukan layanan penerima bantuan diberikan sebaik mungkin.
Ketelusan Baitulmal dalam memainkan peranan untuk membantu golongan ini dan pembaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa. Ini juga sebagai usaha Baitulmal untuk meningkatkan bantuan zakat kepada penerima berlandaskan had kifayah mereka. Kenaikan ini juga berdasarkan kepada keperluan isi rumah penerima, jenis penyakit yang dihadapi dan jumlah pendapatan mereka.
Bukti kebajikan rakyat dinyatakan lagi pada tahun ini apabila PZNS menyertai seminar Ramadhan sempena kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak 1431H yang akan menjelang tiba di mana Jabatan Hal Ehwal Agama Islam N.Sembilan (JHEAINS) telah menganjurkan Seminar Semarak Ramadhan bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS).
Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) juga turut menyertai seminar tersebut dengan membuka pameran bersama dengan beberapa agensi lain. Ahli panel yang terkenal telah diundang untuk membentangkan kertas kerja bertajuk “Ramadhan Membina Taqwa” oleh Ust. Mohd. Fauzi bin Mustafa (hos Rancangan Al-Kuliyyah TV3) dan sesi forum turut diadakan bagi mengupas penghayatan bulan Ramadhan yang bertajuk “Ramadhan Membentuk Jiwa” oleh dua orang ahli panel iaitu Ust, Dzul Karnain bin Hamzah dan Ustazah Asni binti Hj. Mansor
Pameran PZNS telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari para pengunjung dengan memperolehi 20 penyertaan borang potongan zakat gaji bulanan (SPZB). Majlis tersebut telah disempurnakan perasmian penutupnya oleh Isteri YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, merangkap Pengerusi PEKERTI.
Inilah sebahagian amalan-amalan murni kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus terbela biarpun seharian barisan kepimpinan yang menjalankan tanggungjawab kepada rakyat ini diselar, difitnah dan dicaci oleh insan yang kufur dengan bermacam kata-kata kesat, namun, barisan kepimpinan N.Sembilan ini tidak pernah lemah apatah lagi untuk melatah hanya dek usikan nakal insan tak berakal.
mizi@n9kini.com
No comments:
Post a Comment