Jadi Geng OKC

Wednesday, May 26, 2010

SUDAHKAH SEDIAKAH BN KEDAH?

KEKALUTAN yang berlaku dalam arena politik negara berikutan satu demi satu pilihan raya kecil diadakan serta 'penghijrahan' ahli-ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlanjutan pula di Kedah.

Ia berikutan timbulnya khabar angin Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan. Segalanya berpunca daripada berita kononnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR dan DAP dijangka keluar parti.

Mereka ialah S.Manikumar (PKR-Bukit Selambau), Tan Chow Kang (PKR-Sidam), Lim Soo Nee (PKR-Kulim) dan Lim Guan Aik (DAP-Kota Darulaman).

Namun begitu ia baru sahaja khabar angin semata-mata. Jika kesemua mereka hadir di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, pada Sabtu ini maka sahlah khabar angin itu.

Adalah tidak munasabah jika kesemua mereka hendak mengumumkan keluar parti di hadapan penyokong sendiri.

Tambahan pula Chow Kang sudah mengesahkan bahawa mereka akan memberikan ceramah khas untuk memberikan gambaran sebenar tentang apa yang berlaku.

Oleh itu, jelaslah pembubaran DUN yang digembar-gemburkan hanyalah khabar angin. Tetapi persoalan yang lebih besar ialah siapakah sebenarnya yang inginkan keadaan itu berlaku?

Adakah ia agenda Barisan Nasional (BN) atau lebih tepat lagi UMNO? Atau suasana tersebut sengaja diwujudkan oleh pembangkang semata-mata untuk mengejutkan wakil rakyat mereka yang berhasrat melompat parti?

Memanglah di atas kertas kedudukan kerajaan negeri yang dianggotai oleh Pas, PKR dan DAP tidaklah sekukuh mana. Ketika ini mereka memerintah dengan kelebihan empat kerusi sahaja.

Daripada 36 kerusi DUN di Kedah, Pas mempunyai 16 kerusi, PKR (3 kerusi), DAP (1 kerusi), BN (14 kerusi) dan Bebas (2 kerusi).

Jika empat ADUN PKR dan DAP keluar parti dengan menjadi bebas ertinya, Pas tinggal keseorangan.

Dengan berada kedudukan itu, ia bermakna Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak tiada sokongan majoriti dalam DUN. Justeru cara terbaik ialah membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihan raya negeri diadakan.

Tetapi semua itu hanyalah sekadar ramalan. Apa yang pasti kerajaan negeri Kedah ketika ini masih stabil.

Selain itu, persoalan juga timbul apakah BN benar-benar sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya tersebut jika ia diadakan?

Dalam pertemuan penulis dengan beberapa pihak di Kedah, minggu lalu. Laluan BN untuk merampas kembali tampuk pemerintahan negeri bukanlah mudah.

Malahan senario politik yang berlaku pada masa ini boleh dianggap segalanya berkemungkinan. Walaupun rata-rata rakyat Kedah menyedari bahawa negeri itu tidaklah semaju mana di bawah pakatan pembangkang dan banyak janji pilihan raya tidak ditunaikan tetapi sindrom 'biaqla (biarlah) Pas perintah' seolah-olah menjadi halangan terbesar kepada BN.

''Sebenarnya kalau pun diadakan pilihan raya, susah nak cakap sapa nak menang. Walaupun kerajaan negeri nampak ada masalah, BN pun masih belum bangkit lagi,'' kata seorang pemimpin UMNO bahagian kepada penulis.

Jika keputusan pilihan raya umum lalu dikaji, kita akan mendapati kenyataan tersebut ada benarnya.

Selain terdapat sekurang-kurangnya 11 kawasan yang mencatatkan majoriti di bawah 1,000 undi. Terdapat juga kerusi yang peluang bagi kedua-dua pihak adalah 50-50, biarpun perolehan majoriti undi agak besar.

Pada masa yang sama terdapat hanya 13 kawasan sahaja yang dianggap 'selamat' atau peluang cerah bagi BN atau pakatan menang. Daripada jumlah itu, sembilan adalah milik BN dan empat milik Pas.

Bagaimanapun semua itu adalah perkiraan di atas kertas. Dalam soal ini, BN tidak boleh terlalu yakin kerana sudah terbukti dalam pilihan raya lalu banyak kawasan yang sebelum ini dianggap kawasan tradisi BN ditawan oleh pembangkang.

Satu sumber memberitahu penulis, laluan BN untuk kembali memerintah juga agak sukar memandangkan kemelut-kemelut yang masih lagi berlanjutan di peringkat bahagian-bahagian.

''Memanglah dari segi bersedia, semua parti akan bercakap dah sedia tetapi soal lebih penting boleh menang atau tidak,'' kata seorang lagi penyokong kuat BN.

Mungkin kenyataan seumpama ini tidak begitu disenangi oleh BN tetapi ia adalah hakikat. Pentadbiran kerajaan negeri Kedah bukannya tidak ada masalah, banyak isu yang berlaku.

Ia termasuklah dakwaan bagaimana beberapa ketua pegawai eksekutif yang menerajui syarikat milik kerajaan negeri digugurkan atas alasan yang boleh dipersoalkan.

Begitu juga dengan dakwaan pentadbiran Azizan gagal untuk melunaskan banyak janji-janji yang dibuat dalam pilihan raya umum lalu.

Malahan walaupun sudah masuk tahun kedua pemerintahan, kerajaan negeri Kedah masih gagal menunjukkan ke arah mana negeri jelapang padi itu akan dibawa. Apa yang kerap didengar hanyalah slogan Kedah Sejahtera.

Tetapi malangnya, jentera BN dan UMNO tidak memainkan peranan aktif bagi memanipulasikannya.

Kesudahannya, pentadbiran kerajaan negeri dilihat elok-elok belaka, sedangkan kalau dilihat dengan lebih mendalam terlalu banyak masalah yang boleh disifatkan peluang terbaik untuk BN kembali meraih sokongan rakyat.

Namun BN tidak melakukan itu semua. Kekalahan di dalam pilihan raya umum seolah-olah belum menyedarkan UMNO negeri itu bahawa mereka perlu bangkit untuk menamatkan penguasaan pakatan pembangkang di Kedah.

Di peringkat bahagian-bahagian tiada aktiviti dilakukan bagi memperkukuhkan kembali sokongan rakyat. Sebaliknya apa yang terjadi sehingga ke hari ini, masih terdengar kisah-kisah politiking yang memualkan sesama sendiri.

Begitu juga tiada usaha dilakukan bagi menonjolkan pemimpin pelapis biarpun ramai yang mengetahui bahawa sebahagian besar pemimpin BN Kedah yang ada sekarang semakin ditolak oleh rakyat.

Oleh itu, daripada BN Kedah begitu teruja menanti kalau-kalau DUN dibubarkan, adalah lebih baik jika mereka bertanya sesama sendiri sejauh manakah persiapan mereka bagi menghadapi pilihan raya dan sejauh mana pula kekuatan bagi merampas kembali Kedah daripada pembangkang.

Hakikatnya, gabungan pembangkang di Kedah tidaklah sekuat mana. Keyakinan di kalangan pemimpin sendiri pun sudah goyah sebab itulah dua wakil rakyat mereka menjadi ADUN bebas.

Ini belum lagi mengambil kira apa yang berlaku di dalam PKR di peringkat pusat. Tetapi semua itu tidak akan memberikan apa-apa manfaat kepada BN Kedah, jika mereka terus diulit mimpi dan tidak melakukan sesuatu untuk mendekati rakyat.

Apa yang perlu difahami, dalam senario politik sekarang segala-galanya boleh terjadi termasuklah juga Kedah tidak mustahil menerima nasib seperti mana di Kelantan yang terus dikuasai oleh Pas, biarpun pentadbiran kerajaan negeri mempunyai seribu satu kelemahan. Segalanya bukan kerana pembangkang kuat tetapi disebabkan BN tidak mahu menang.

No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"