Jadi Geng OKC

Sunday, May 16, 2010

RASMI...DAP menang majoriti 398 undi



Oleh: ROSLAN BIAN

DAP menjual pilihanraya kecil kawasan Parlimen Sibu, Ahad sebagai pertembungan golongan kaya dan miskin.

Itu modal untuk meraih undi kasihan.Cara paling mudah dalam kempennya tidak lekang kata calon BN Robert Lau Jr adalah jutawan manakala wakilnya Wong Ho Leng, rakyat biasa.

Namun realitinya pilihanraya kecil itu adalah pertembungan antara tycoon dan tycoon.Orang Sarawak khususnya di Sibu cukup mengetahui latarbelakang kedua-dua calon tersebut.

Kedua-dua mereka sama hebat hingga layak mendapat gelaran itu berdasarkan kelebihan dan pengaruh masing-masing.

Robert Lau Jr memang datang dari keluarga jutawan yang berpengaruh di Sibu manakala Wong pula ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek,iaitu salah sebuah kawasan DUN di daerah itu dan juga Pengerusi DAP Sarawak.

Sebab itu jugalah hingga ke saat ini baik pihak BN dan DAP, belum ada yang berani mendabik dada mengatakan calon parti masing-masing pasti menang Ahad ini.

Penasihat DAP Lim Kit Siang sendiri pandai main ‘ gear gostan’ mendakwa BN mendahului dengan 52 peratus berbanding DAP 48 peratus.

Beliau berharap pengundi simpati dan menyokong calon DAP sedangkan ada pemimpin lain dalam parti itu hanya berani mengatakan peluang kedua-dua calon masih 50-50.

Setakat ini jentera kedua-dua parti sudah melakukan pelbagai cara bagi menawan hati pengundi-pengundi. Segala senjata sudah dilepaskan sejak kempen bermula 8 Mei lalu.

Sasaran mereka pastilah semua pengundi sama ada kaum Cina 36,494 , Melayu/Melanau 9,369 dan Iban (8,665) di rumah-rumah panjang kerana undi masing-masing amat berharga.

Jika BN berkempen menggunakan rekod cemerlang kerajaan sejak lepas merdeka dan mengotakan apa yang dijanji, pembangkang tetap dengan lagu lamanya menidakkan apa saja kerajaan BN sudah lakukan.

Lebih malang lagi pakatan DAP, PKR dan PAS berterusan memainkan pelbagai isu, memaki hamun dan mencari kesalahan BN malah ada sesetengah isu boleh mengancam perpaduan kaum apabila bab agama turut dipolitikkan.

Ramai tahu, DAP terdesak untuk menenangi Parlimen Sibu selepas PKR tewas di Hulu Selangor.

Maklumat diperolehi Agendadaily mengatakan, pembangkang kini menyasarkan pengundi Melayu dan Iban kerana yakin mereka dapat menguasai pengundi Cina.

Khabarnya, DAP berjaya mengurangkan jumlah 38 peratus undi kaum Cina yang diperolehi mendiang Robert Lau pada pilihanraya umum Mac 2008.

BN pula percaya undi Cina masih kekal dan perlu mempertahankan undi Melayu dan kaum Iban yang mungkin sesetengah daripada mereka akan protes disebabkan kecewa faktor wakil rakyat yang tidak turun padang dan tiada kemudahan asas baru untuk mereka serta isu tanah.

Sebab itu Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut berkempen di Sibu mengumumkan peruntukkan RM1 bilion bagi menyediakan dan membaiki prasana berkaitan tebatan banjir serta mengumumkan 6,000 hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR)

Kerajaan sudah berusaha mengatasi isu tersebut dan bagi masyarakat Cina, peruntukkan RM18 juta membantu sekolah rendah dan menengah Cina serta mubaligh jelas mengambarkan kesamarataan kerajaan membantu semua kaum dan selari matlamat 1Malaysia.

Jika ambil kira keprihatinan kerajaan ini, BN tiada masalah untuk mengekalkan kerusi parlimen Sibu tetapi politik orang Sarawak termasuk di Sibu seperti dikatakan sebelum ini sukar dibaca berbanding di Semenanjung.

Sikap melihat, mendengar dan menerima apa diberikan dan diperkatakan sama ada oleh pihak kerajaan mahupun pembangkang yang dibuat oleh pengundi-pengundi Sibu terus membingungkan pemerhati politik untuk mencogak BN atau DAP yang menang Ahad ini.

Berasaskan situasi ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat menilai tempoh 48 jam terakhir adalah amat kritikal dalam menentukan kemenangan di Parlimen yang hampir 67 peratus didomonasi pengundi Cina.

Mahu atau tidak, peluang terakhir BN adalah menumpukan usaha meraih sokongan pengundi atas pagar pada peringkat akhir siri kempen pilihanraya kecil ini.

Agendadaily dengar khabar ada pihak yang congak BN akan ketinggalan dua peratus di belakang DAP jika peratus keluar mengundi sama seperti pilihanraya umum Mac 2008.

Sekiranya BN dapat menarik lima daripada 7 peratus pengundi atas pagar, calon BN ada peluang menang dengan majoriti sekitar 1,850 undi.

Usaha juga perlu supaya peratusan keluar mengundi bertambah agar peluang menang besar lebih cerah jika tidak BN terpaksa berpuashati dengan majoriti undi sekitar 700 sahaja..

Sebaliknya jika usaha ini gagal, DAP bakal menang dengan majoriti di bawah 1,000 undi.

Calon Bebas dijangka bukan masalah besar malah Narawi Haron paling tidakpun hanya dapat sekitar 600 undi sahaja.

Bagaimanapun, isu yang menghantui banyak pihak adalah tauke-tauke perjudian sudah mula ‘buka meja’ selepas lawatan Najib Rabu dan Khamis.

Kewujudan mereka sukar dinafikan. Selain Muhyiddin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein turut mengakui ada mendengar perkara itu walaupun tiada laporan polis mengenainya.

Lebih menarik lagi apabila Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Shafie Ismail turut mendedahkan kononnya pihak bertaruh meletakkan kemenangan kepada BN dengan majoriti 2,000 hingga 2,500 undi.

Namun, memegang kata mereka, pengundi-pengundi Sibu tidak seharusnya membenarkan ‘orang lain’ menentukan siapa wakil rakyat yang perlu mereka pilih sebagai tempat mereka mengadu nasib selepas ini.

Cuma masalah di depan mata sekarang sesiapa saja yang bertanding mahukan kemenangan…begitu juga mereka yang berjudi.

Situasi 50-50 pilihanraya kecil ini pasti akan membuat semua berdebar hingga ke wisel penamat.
Dipetik dari Agena Daily.com– 15/5/2010

No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"