Jadi Geng OKC

Thursday, August 29, 2013

Sembah Seloka Buat Pemimpin UMNO Cawangan/Bahagian/Negeri/Malaysia

Assalamualaikum pembuka bicara
Buat semua hadirin yang mulia
Izinkan saya sembahkan seloka
Buat renungan kita bersama

Anak dara duduk tersipu
Sambil membungkus si kuih koci
Ini bukannya seloka merapu
Ini kisah mengapa UMNO dibenci

Menang sabung Pak Kaduk gembira
Melompat-lompat kain terlondeh
Dalam masa politik sedang gelora
Eloklah diperbetul mana yang boleh

Belum berjalan sudah berlari
Jatuh tersungkur terluka dahi
Tak perlu sibuk menuding jari
Semuanya punca angkara sendiri

Anak penghulu memang rupawan
Sesuai sangat dibuat bini
Orang UMNO ni, bila dah ada jawatan
Mudah benar lupakan diri

Jangan dimakan nasi yang basi
Nanti ke tandas berkali-kali
Bila saja mendapat kerusi
Dia kata itulah hak dia sejak azali

Bila tiba bulan puasa
Macam macam datang dugaan
Lupakah kita pada yang Esa?
Baik menang atau kalah, semua itu hanyalah ujian

Bila Tok Siak memakai jubah
Tok imam pula geleng kepala
Bila dah menang perangai pun berubah
Dah dapat betis, nak peha pula

Masuk ke hutan mencari rusa
Rusa berbongol seperti unta
Kuasa yang patutnya membela bangsa
Diguna buat mengaut wang dan harta

Kata orang Badang tu perkasa
Gajah pun boleh dihumban ke laut
Selagi ada pangkat dan kuasa
Selagi boleh dia nak kaut

Tengah hari badan berpeluh
Nak minum tak boleh sebab puasa
Benda dah terang lagi bersuluh
Orang macam ni gila benar pada kuasa

Tengah malam terhantuk pintu
Sakitnya kepala tidak terperi
Nak pesan kepada yang ada kuasa tu
Jangan lupa, kuasa tu kami semua yang beri

Ke pasar tani membeli kain
Selepas diukur terus digunting
Dah ada kuasa, sombongnya bukan main
Tak boleh ditegur, terus melenting

Pergi ke padang menjemur gula
Kaki tersepak si besi karat
Perangai sebiji dah macam Hitler
Yang melawan kata, semua nak dikerat

Pergi ke dapur mencari baldi
Buat diisi daging pelanduk
Kenapa tak ikut resmi si padi
Semakin berisi semakin menunduk?

Baring di katil berlaga lutut
Mata terbeliak memandang bumbung
Orang yang pandai mencium bontot
Yang itulah yang dipuji dan dilambung

Pergi ke paya menangkap belut
Untuk dibuat si ubat kuat
Yang paling kuat menjilat bontot
Orang itulah yang dia jadikan penasihat

Waktu malam hujannya lebat
Hantu jembalang berjoget ligat
Konon dirinya berkuasa dan hebat
Rupanya ikut telunjuk penasihat

Kalau tuan ke Tanjung Malim
Jangan lupa membeli penyapu
Konon orang-orangnya warak dan alim
Tak tau semuanya kaki menipu

Kalau bercukur pasanglah lampu
Takut nanti tercukur jambang
Tak cukup dengan kerja menipu
Digunanya pula jin dan mambang

Bila Si Luncai menggosok perut
Tandanya dia makan berpinggan pinggan
Sekarang memanglah mereka semua membontot
Sebab masing-masing ada kepentingan

Ular tedung binatang berbisa
Tapi maut di kaki helang
Esok bila dah tak ada kuasa
Tengoklah kemana mereka semua menghilang

Bila Pak Pandir cuba nak puasa
Mak Andeh sibuk menyanyi keroncong
Nasihat pada yang gila kuasa
Ubahlah perangai sebelum dipancung

Disuruh berlari dia berjalan
Katanya badan penat dan letih
Selagi yang batil dijadikan amalan
Jangan harap UMNO nak pulih

Pakai baju kancing suasa
Sayang rambutnya penuh kutu
Kalau ada sesiapa yang terasa
Siapa yang suruh makan cili tu?

Kalau tuan pergi ke Miri
Kirimkan saya batu kristal
Eloklah saya undurkan diri
Takut nanti ada yang ke hospital

1 comment:

Abangpi said...

Salam

Bernas sungguh kata kata tuan hamba itu. Adapun mereka ramai yang beraja di mata bersultan di hati. Hamba disini sama setuju.

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"