Jadi Geng OKC

Tuesday, August 20, 2013

Hati-Hati Kalau Lalu Di Jalan Bukit Putus Lama



Benarkah jalan lama Bukit Putus di sini bahaya untuk digunakan oleh orang awam ketika ini, apatah lagi memandu sendirian? Walaupun ketika ini keadaannya sunyi dan kurang kenderaan yang menggunakannya, masih ada pemandu yang tetap mahu menggunakannya.

Jika diimbas kejadian pada 22 November 2011, mangsa kes tikam sebanyak lapan kali, Armaan Shah, 29, yang kemudiannya dibuang di kawasan jalan lama sebelum diselamatkan oleh orang ramai adalah antara contoh penjenayah menjadikan lokasi jalan lama itu sebagai tempat membuang bahan bukti.

Banyak juga kisah peras ugut didengarnya berlaku di jalan lama yang sunyi itu dan menasihatkan orang ramai supaya mengelak menggunakan laluan berkenaan selepas pukul 7 malam kerana berbahaya.

Ada juga menggunakan laluan ini pada sebelah pagi kerana lebih santai terutama ketika menunggang motosikal. Apa pun kita perlu berwaspada.

Selain itu, elakkanlah daripada menggunakan laluan itu pada waktu hujan kerana bimbang berlaku kejadian tanah runtuh. Memang benar kita mahu merasai nostalgia jalan lama itu, tetapi kalau berlaku sesuatu kejadian, tiada siapa yang sedar.

Amat malang kerana jalan lama di Bukit Putus ketika ini menjadi tempat pembuangan sampah seperti perabot lama dan sisa pembinaan. Hutan yang indah itu akan tercemar dan ini perlu dihentikan.

Apa pun, OKC menasihatkan orang ramai yang ingin menggunakan jalan lama tersebut supaya bergerak secara berkonvoi dan ketika itu, nikmatilah keindahan hutan rimbanya.

Kadangkala apabila melalui jalan baharu di Bukit Putus dekat sini terkenang selekoh tajam di laluan lama yang telah banyak meninggalkan nostalgia. Bukan sahaja melibatkan tanah runtuh, kemalangan yang meragut nyawa, malah ada juga mayat yang dibuang di gaung yang dalam di laluan paling 'seram' terutama di tengah malam.

Namun begitu, pemandu yang hendak ke Kuala Pilah, hari ini tidak perlu bimbang lagi untuk melalui selekoh tajam di jalan lama dekat Bukit Putus itu, sebaliknya mereka boleh melalui jalan lurus yang kini lebih cepat dan pantas, malah disebut sebagai 'laluan sutera moden' bagi pedagang dari Pantai Timur ke Pantai Barat.

Biarpun jalan lama ditinggalkan sepi sejak jalan baharu itu dirasmikan pada 29 November 2009, kini hanya tempat tinggal binatang liar yang bebas berkeliaran di atas jalan raya, khususnya kera. Inilah nostalgia jalan yang suatu ketika dahulu telah memberi khidmat kepada penduduk khususnya di daerah Kuala Pilah, Jempol dan Gemas.

Malah jalan itu juga menjadi laluan penting ke Kuantan, Pahang dan Segamat, Johor bahkan penghubung penting kawasan sebelah barat yang merupakan kawasan pertanian yang luas menerusi penanaman kelapa sawit melalui tanah rancangan Felda.

Selain itu, ia menempatkan lokasi pelancongan utama kerana Istana Besar Seri Menanti terletak di Kuala Pilah dan kawasan rekreasi air terjun Ulu Bendul yang menggamit kedatangan pelancong dalam dan luar negeri.
Lebih nostalgia, 'laluan sutera' yang digantikan dengan jalan baharu itu merupakan pencetus kewujudan pelbagai institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah, Kolej Matrikulasi dan sekolah berasrama penuh di sekitar daerah Kuala Pilah dan Jempol, sekali gus menyaksikan peningkatan bilangan kenderaan terutama pada hujung minggu.

Apa pun, jalan lama Bukit Putus ini, sekadar menjadi memori terutama bagi mereka yang gemar menikmati selekoh tajam dan hutan rimba di sekitarnya. Dahulu kalau terdapat lori di hadapan pasti orang ramai sukar untuk memotongnya kerana selekoh di jalan lama itu terlalu bahaya.

Kesudahannya, kita tunggulah sampai ke penghujung jalan. Bila ada jalan baharu itu semuanya dapat diatasi, tetapi bagi saya jalan lama ini terlalu banyak kenangannya. Tambahan, macam-macam cerita didengar ketika melalui jalan lama ini, maklumlah banyak sangat kejadian korban jalan raya di situ.

Cerita seram, tidak perlu cakap. Yang berlumba dan jatuh gaung pun ramai. Kes jenayah pun ada di situ. Buang sampah pun ke dalam gaung itu. Sekarang tidak ada lagi orang berhenti tepi jalan bagi makan pada kera di situ.

Kalau ikut jalan lama dahulu, yang banyak terbabit kemalangan ialah penunggang motosikal. Bila salah pecut, sudah terbabas dan masuk bawah lori. Bagi OKC memandu di jalan lama Bukit Putus itu memang santailah. Kita dapat tengok pokok menghijau dan sesekali melihat habitat dan kehidupan lain di situ seperti burung, kera, haiwan liar. Seronok juga!

Jalan lama banyak kenangan. Pada waktu pagi tiada masalah besar tetapi apabila pulang waktu malam timbul risau kerana keseorangan menunggang motosikal melalui jalan yang gelap dan sunyi.

Biasanya dahulu kebanyakan pengguna jalan ini akan berhenti di stesen minyak di Paroi berhampiran Bukit Putus dan menunggu jika ada kenderaan lain yang lalu di jalan lama Bukit Putus sebelum mengekorinya.

KISAH MISTIK

Apabila diajukan soalan mengenai jalan lama Bukit Putus, ramai yang tidak berani bercerita, apatah lagi diajak menggunakan laluan berkenaan terutamanya pada waktu malam, walaupun ketika ini jalan baharu sudah ada.

Namun kisah seram ini mungkin rekaan termasuklah kononnya terjumpa orang mengusung keranda sambil membawa obor dan suara wanita menjerit minta tolong dari gaung dan sebagainya.

Namun begitu, sepanjang OKC memandu di jalan lama dahulu, tiada peristiwa ganjil yang ditemuinya dan menganggap kisah mistik itu sekadar 'mengaibkan' jalan lama yang sudah banyak berjasa ini.


No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"