Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)pada 5 Mei lalu menyaksikan banyak perubahan landskap dalam industri politik negara. Keputusan rakyat menunjukkan trend polarisasi pengundi begitu membimbangkan kerajaan.
Ada di antara ahli politik dalam sesebuah parti sanggup bertanding calon Bebas kerana sudah mempunyai hala tuju tersendiri.
Dan yang menarik pada PRU-13 ini apabila melihat tiga selebriti Malaysia iaitu Herman Tino yang bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Tanjung Karang, Dayangku Intan (PKR - Parlimen Penggerang, Johor) dan Aishah (PAS – Parlimen Jempol, Negeri Sembilan).
Namun, keterlibatan artis dalam politik khasnya PRU-13 kini membenarkan cakap-cakap mengatakan bahawa golongan artis ini hanya cukuplah sekadar menjadi penyanyi dan menghiburkan, bukan berjuang di pentas politik.
Itulah keputusan PRU-13 apabila menyaksikan ketiga-tiga artis yang bertanding di kerusi Parlimen ini gagal memenangi hati pengundi di kawasan masing-masing.
Kira-kira 42,333 pengundi di Parlimen Tanjong Karang, 65,231 pengundi di Parlimen Jempol serta 37,999 pengundi di Parlimen Pengerang lebih cenderung membuat keputusan dengan memilih calon yang dirasakan mampu membantu dan menggerakkan kemajuan di kawasan berkenaan dengan memberi undi kepada parti Barisan Nasional (BN).
Di Parlimen Jempol menyaksikan Aishah tewas dengan memperoleh 22,495 undi kepada Tan Sri Isa Samad yang menang 31,109 undi.
Sementara di Parlimen Pengerang, Dayangku Intan memperoleh undi sebanyak 4,484 tewas kepada Datuk Seri Azalina Othman Said dengan 26,992.
Manakala Herman Tino yang bertanding tiga penjuru Parlimen Tanjung Karang hanya memperoleh 340 undi yang juga tewas kepada calon BN, Datuk Seri Noh Omar. Noh menang 20,548 dan Mohamad Rashid Deraman (PAS) dengan 16,154 undi.
Ini jelas menunjukkan masyarakat masih menolak penglibatan golongan artis dalam gelanggang politik apa lagi untuk mentadbir kawasan mahupun negara.
Sejarah berulang kembali apabila pada pertama kalinya artis bernama Abu Bakar Ellah yang pernah bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Sabah sebagai calon Bebas dalam saingan lima penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004 juga gagal mendapat tempat di pentas politik.
Sandiwara glamor
Ini menggambarkan fenomena artis berpolitik dilihat bukan sekadar satu sandiwara glamor atau cubaan berkuasa yang boleh dipandang ringan.
Penglibatan artis dalam dunia politik mampu membangkitkan satu gelombang dan anjakan perasaan khasnya di kalangan peminat mereka sendiri.
Sama ada suka atau tidak, sumbangan, penglibatan serta perilaku seseorang artis itu mempunyai kesan langsung terhadap naik turunnya ‘feel good factor’ terhadap iklim politik negara.
Berhubung pencalonan ketiga-tiga artis yang masih ‘hijau’ ini mewakili parti dan berdepan pula dengan calon ‘otai’ politik adalah satu percaturan yang berani.
Namun, ia bukanlah satu tindakan yang bijak. Mereka masih terlalu ‘muda’ dalam bidang politik dan masih memerlukan ilmu yang lebih tinggi dalam menguasai bidang ini.
Bagi mempersiapkan diri bergelar aktivis politik, artis terlebih dahulu perlu memahami liku-liku dan sorotan perjalanan menjadi ahli politik bermula dari proses mengurus dan mentadbir keahlian dalam parti politik sehinggalah duduk bersidang di dewan mahupun parlimen bagi membincangkan perubahan ataupun hala tuju industri secara lebih matang.
Perkongsian serta pembawaan ideologi berteraskan politik bukanlah semudah berkongsi gambar profil atau memuat naik status di laman media baru.
Sering kali kita melihat pertelagahan antara artis dan penyokong parti ditimbulkan di laman sosial dalam mempertahankan ideologi politik masing-masing.
Fahami tujuan berpolitik
Perlu diingat, bukan sekadar melawat rumah ke rumah menghulur bantuan. Atau ceramah sana sini bagi meraih sokongan pengundi, artis perlu memahami tujuan berpolitik untuk membangun dan mendukung dasar-dasar parti atas semangat kesedaran tinggi agar pembangunan negara bangsa dan hala tuju nasional dapat terlaksana.
Sebelum memberanikan diri untuk menceburi politik bahkan bertanding untuk PRU ini, mereka perlu terlebih dahulu melengkapkan diri dengan ilmu sains politik, perang saraf dan komunikasi sebelum menempatkan diri di tengah-tengah khalayak untuk berbicara dan berkomentar berkaitan politik semasa agar setiap tutur bicara, idea dan tingkah tidak menjadi bahan ketawa atau lebih malang menjadi sumber perpecahan bangsa.
Kesilapan artis yang bertanding kali ini dilihat lebih cenderung kepada ideologi yang mahu memartabatkan dunia seni berbanding kemajuan negara. Mereka dilihat lebih kepada mahu memperjuangkan industri hiburan negara khasnya melibatkan kebajikan yang terarah kepada ‘survival’ periuk nasi mereka agar terus mampu bertahan dengan suasana ekonomi penuh mencabar.
Ini membawa kepada satu pendedahan bahawa mereka ini menggunakan pentas politik PRU sebagai satu platform mendendangkan suara dan buah fikiran mereka untuk disampaikan dan dikongsi bersama penyokong parti.
Selain itu, strategi kempen menggunakan saluran ceramah semata tidak banyak membantu ketiga-tiga artis ini memikat hati pengundi.
Walaupun hanya Dayangku Intan menggunakan saluran media sosial Twitter dalam kempen beliau, namun dengan memuat naik gambar-gambar sekitar kempen tidak dilihat sebagai strategi terbaik untuk beliau. Apa lagi bagi Herman Tino yang hanya berkempen di gerai-gerai sekitar Tanjung Karang.
Tidak dinafikan bahawa ramai figura politikus terkemuka dunia juga lahirnya di kalangan artis seperti Ronald Reagan yang berjaya mewakili Amerika Syarikat sebagai Presiden, Arnold Schwarzenegger menakluki California sebagai Gabenor manakala Joseph Estrada menjadi Presiden Filipina.
Tidak ketinggalan Amitabh Bachan dan MG Ramachandran juga merupakan artis yang menjadi ikon politik di India.
Perlu diingat, menyertai parti politik bererti bukan sekadar membawa perjuangan golongan mereka (artis), malah melangkaui nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara.
Menyertai parti politik atau beralih dari seorang artis kepada ahli politik membolehkan seseorang artis itu mendapat hak dan memainkan peranan sebagai ahli.
Bagaimanapun, bukan mudah bagi selebriti memenangi hati rakyat. Ini jelas apabila John Glenn, angkasawan dan rakyat Amerika pertama mengelilingi orbit gagal dalam persaingan merebut jawatan presiden.
Oliver North, pengacara televisyen, turut gagal dicalonkan ke senat manakala Bill Bradley, pemain bola keranjang terkenal, gagal menjadi Presiden AS ketika pilihan raya 2000. Begitu juga dengan kegagalan Abu Bakar Ellah dalam cubaan beliau dalam PRU-11.
Jelas, kejayaan dalam bidang politik tidak berdasarkan kemasyhuran dan populariti dalam dunia glamor semata-mata.
Bagi selebriti yang ingin menjadi ahli politik berjaya, kualiti dan latar belakang mereka menjadi aspek penting yang dinilai masyarakat.
Oleh itu, parti dan juga rakyat perlu mengetahui bahawa pembentukan sesebuah negara perlu berlandaskan sokongan rakyat dan pengalaman mentadbir negara.
Kerajaan yang tidak berpengalaman bukan sahaja memberi kesan buruk dari segi pentadbiran dan pembangunan prasarana yang kita pertahankan sejak kemerdekaan lagi.
Strategi Pakatan Rakyat meletakkan calon artis dalam parti tidak memberi jaminan terhadap ‘popular candidate’ kepada ‘winable candidate’.
Parti perlu perjelaskan atas tiket apa artis ini dipertaruhkan dalam PRU-13 ini.
Adakah hanya memperagakan artis dalam parti bagi memperoleh sokongan atau adakah calon artis itu benar-benar mempunyai ilmu politik dan kepartian untuk mentadbir negara?
Walau bagaimanapun, ini bukan lah pengakhiran bagi para artis untuk melangkah ke dunia politik. Sebagai rakyat Malaysia mereka masih mempunyai hak untuk menyertai dan memilih parti politik masing-masing.
Malah, masih mempunyai peluang untuk bertanding pada PRU akan datang bagi mengubah landskap politik yang lebih demokrasi.
Justeru itu, artis perlu benar-benar jujur dan ikhlas serta mendalami ilmu sains politik yang lebih mantap dalam usaha menggalas tugas sebagai ahli parti ataupun aktivis politik dan bukan lagi masanya untuk terbawa-bawa trend yang penuh glamor dan sentiasa mencipta kontroversi.
No comments:
Post a Comment