Jadi Geng OKC

Friday, August 20, 2010

Jangan Sampai Jadi Melayu Singapura, Menumpang Di Tanah Sendiri

SUNGGUHPUN Malaysia sebuah negara yang rakyatnya berbilang bangsa, agama dan bahasa tetapi penduduknya dapat hidup aman dan damai atas kebijaksanaan pemerintahan pemimpin-pemimpin negara yang diterajui oleh UMNO sejak 53 tahun dahulu.

Kini, Malaysia diikitiraf sebagai sebuah negara Islam contoh yang mampu berdikari dan maju. Pemimpin-pemimpin negara pula berani menyatakan pendirian yang tegas berkaitan isu-isu penindasan umat Islam di Palestin, serangan negara Amerika di Iraq, Afghanistan dan sebagainya melalui forum-forum antarabangsa dan persidangan PBB, ujar Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS), Ramli Mohamad.

Namun sebarang kemungkinan berlakunya perpecahan orang-orang Melayu di Malaysia, boleh memberi kesan negatif bukan sahaja kepada bangsa Melayu itu sendiri, tetapi boleh memberi kesan buruk kepada perpaduan masyarakat Melayu dan Bumiputera Islam secara keseluruhannya.

“Dari perspektif kami di Singapura, UMNO dan PAS itu bukanlah ‘parti politik’ semata-mata tetapi UMNO dan PAS itu adalah orang Melayu dan Islam. Justeru, perpecahan orang-orang Melayu, tidak boleh dilihat atau dianggap sebagai masalah orang-orang Melayu di Malaysia semata-mata, kerana ia sebenarnya boleh mengancam, malah melemahkan perpaduan orang Melayu di Singapura.

“Apa terjadi pada kita Melayu Singapura, kita dihimpit dan ditekan yang tanpa kita sedari kita telah diolok-olokkan, kita diperdaya sehingga Melayu Singapura hari ini telah disingkirkan dari pembangunan negara, dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Kita berharap agar Melayu di Malaysia dapat bersatu, tidak kira fahaman politik mana sekalipun kerana tanpa penyatuan ini, tidak mustahil Melayu Malaysia akan turut mengalami masalah dan penindasan mental dan fizikal seperti yang kita alami di Singapura,” ujarnya dalam pertemuan eksklusif bersama UMNO-online baru-baru ini.

Pada dasarnya, Melayu Singapura memang dilihat mulia dan berpendidikan, namun hakikatnya jauh panggang dari api. Melayu hanyalah menumpang dan meminta ihsan untuk terus hidup selesa di Singapura.

Justeru, sudah sampai masanya kepimpinan kedua-dua parti Melayu di Malaysia mengambil langlah proaktif untuk mempercepatkan usaha perpaduan Melayu tanpa mengira latar belakang politik demi kebaikan bersama. Pemimpin UMNO dan PAS mesti memiliki daya fikir yang tajam supaya dapat merasionalisasikan nafsu politik kepartian masing-masing agar usaha murni ini menjadi kenyataan.

Kedua-dua parti itu harus melihat isu perpaduan Melayu sebagai masalah umat Melayu-Islam secara kolektif, bukan masalah kepartian. Ia bukan soal UMNO-PAS lemah atau kuat. Apa yang harus dilihat ialah kerjasama dan perpaduan UMNO-PAS sebagai peluang untuk merencana semula perpaduan dan masa depan orang Melayu supaya menjadi lebih kukuh dan padu.

“Kami sentiasa berharap agar dapat semula bergabung semula dengan Melayu di Malaysia. Kami berharap sangat untuk hidup selesa dan berharap agar perpaduan Melayu yang heboh diperkatakan sejak akhir-akhir ini di Malaysia akan menjadi kenyataan. Bersatulah, jangan sampai jadi macam kami yang menumpang di tanahair sendiri,” ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"