Jadi Geng OKC

Join OKC Networkedblog Team

Tuesday, December 16, 2014

Kenapa Melayu Berasa Terancam?



Semua pejuang dan NGO Melayu anti-pindaan Akta Hasutan 1948 pasti berasa lega dan berpuas hati dengan keputusan ini. Namun, seperti diperingatkan Tun Abdul Hamid, cabaran lebih hebat sedang menanti: “Masalah yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang bukan sekadar melibatkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan 1948… Masalahnya adalah orang Melayu menghadapi ancaman akan menjadi ‘Red Indian’ di tanah air sendiri!”

Prospek Melayu menghadapi masa depan serupa Red Indian, iaitu Bumiputera yang kehilangan hak di bumi sendiri mesti dianggap ancaman serius.

Sebelum merdeka lagi, kuasa pemerintahan di tanah Melayu dan Malaysia cuba dirampas pengganas komunis menggunakan senjata dan kekerasan. Setelah gagal, tidak hairan jika selepas merdeka terdapat pula kelompok yang menggunakan saluran politik untuk mencapai matlamat sama, menyelimutkan strategi halus dengan menggunakan undang-undang dan kaedah legitimis demokrasi.

Justeru, bagi Melayu musuh kali ini payah dikenal pasti. Mereka datang dari sudut tidak disedari, mengguna senjata tidak dikenali. Apa pun, jika gagal, tragedi lebih buruk pasti menanti, kerana tidak seperti Red Indian, Melayu warga majoriti pemegang teraju pemerintahan negara.

Persoalannya: Sekali pun warga majoriti dan raja-raja Melayu bertakhta sejak berabad, kenapa Melayu berasa terancam? Hak dan kepentingan Melayu termaktub dalam Perlembagaan.

Perdana Menteri sejak merdeka semuanya Melayu, dan kemungkinan bukan Melayu dilantik PM atau Menteri Besar di negeri Melayu beraja hampir mustahil terjadi. Namun kenapa ramai Melayu masih cemas, resah dan gelisah, tidak yakin terhadap masa depan anak cucu?

Apakah kerana ramai melihat kuasa dan takhta di tangan tidak memanfaatkan Melayu? Apakah kerana semuanya mudah “dibeli” orang lain yang lebih kaya dan berharta, atau diperalat seumpama takhta dan istana raja-raja Melayu diguna dan diperalat penjajah British di zaman penjajahan?

Atau apakah kerana Melayu berasakan semua peruntukan undang-undang, juga institusi untuk melindungi kepentingan Melayu, termasuk hak keistimewaan Melayu, tanah rizab Melayu dan seumpamanya, semuanya dikompromi setelah terlalu lama dilupai, terketepi, atau dipandang sepi oleh pemimpin Melayu sendiri yang diamanahkan dengan pangkat dan kuasa?

Awasi “selimut nafsu-nafsi”

Jika kelemahan Melayu berkelangsungan, yang wajib dipersoalkan kerana telah gagal menjalankan tugas dan menyempurnakan kewajipan ialah pemimpin dan penguasa Melayu sendiri yang selama ini gagal membawa pembaharuan bermakna.

Apakah kerana pemimpin Melayu melampau kecil jiwa, takut kepada bayang-bayang lalu tunduk kepada semua orang lain yang kelihatan lebih sofistikated, lebih tinggi darjat dan lebih berharta, lalu dianggap lebih mulia?

Saya bertanggapan antara punca kelemahan pemimpin Melayu berlaku apabila ramai lupa jati diri, hilang semangat kepahlawanan bangsa dan terhakis roh Islam serta jiwa jihad dalam hati sanubari.

Semua ini mudah hilang dan lenyap terutama apabila Melayu terlalu lama memakai “selimut” warisan penjajahan ditenun mengikut corak kapitalis Barat, mengakibatkan suburnya sikap Melayu melampau individualistik nafsu-nafsi.

Lalu keutamaannya ialah memperjuangkan kepentingan diri dan peribadi, merebut pangkat dan mengaut harta, langsung membunuh jiwa ijtimaai dan mematikan semangat mengutamakan kepentingan besar agama bangsa dan negara.

No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"