Jadi Geng OKC

Wednesday, July 30, 2014

Apakah Akta Keharmonian Nasional Setanding Akta Hasutan?




Pada 14 Jun lepas, Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional Datuk Ibrahim Ali dipetik sebagai berkata Akta Hasutan 1948 masih diperlukan untuk mencegah insiden yang boleh mengancam keselamatan negara.

Sebelum itu, pada 10 Jun, Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela) mahu kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 dengan beberapa penambahbaikan dan mengkaji semula tiga draf rang undang-undang baharu yang dicadang menggantikan akta berkenaan.

Pengerusi Pembela Hafiz Nordin dilapor sebagai berkata perkara itu perlu dilakukan memandangkan Akta Hasutan 1948 ialah akta yang diluluskan untuk melindungi asas-asas negara khususnya Perkara 153, Perkara 152, Perkara 181 dan Bahagian Ketiga Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipersoal oleh mana-mana pihak termasuk Parlimen.

UNDANG-UNDANG KEHARMONIAN NASIONAL

Kerajaan pada 30 Mei lepas mengumumkan cadangan memperkenalkan akta baharu bagi menggantikan Akta Hasutan dan mengesahkan menerima tiga draf rang undang-undang baharu berhubung keharmonian nasional.

Ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012 untuk menghapuskan akta kontroversi itu antaranya untuk meningkatkan kebebasan bersuara di kalangan rakyat.

Tiga rang undang-undang itu ialah Rang Undang-undang Harmoni Nasional, Rang Undang-undang Perpaduan Nasional dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional.

Kebimbangan banyak pihak sekiranya rang undang-undang baharu berkenaan tidak setanding dengan Akta Hasutan 1948, seharusnya menjadi input kepada kerajaan untuk menilai kembali keputusannya.

Ramai badan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal undang-undang, termasuk bekas perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia akan mencetuskan keadaan huru-hara serta mewujudkan krisis perlembagaan yang serius.

Dr Mahathir pada 30 Jun lepas dilapor sebagai berkata undang-undang baharu itu tidak mampu untuk menghalang pelbagai bentuk hasutan yang berlaku.

Ada yang berpandangan tanpa Akta Hasutan 1948, empat perkara utama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu akan disentuh sesetengah pihak dengan sembrono tanpa rasa takut.

AKTA HASUTAN MASIH RELEVAN

Yang sedemikian, benarkah Akta Hasutan 1948 yang akan dimansuhkan sudah tidak lagi relevan?

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata beliau melihat Akta Hasutan 1948 masih relevan dan diperlukan pada masa ini memandangkan masih ada pihak yang mempersoalkan isu-isu sensitif sesuatu kaum.

Katanya untuk membatal atau memansuhkan sesuatu undang-undang, ia perlu melihat 'darjah kerelevanan' sesuatu akta itu dengan keadaan semasa.

"Macam Akta Hasutan, masih ada lagi orang yang melakukan hasutan, sudah tentu ia masih relevan. Jika darjah kerelevanan itu menurun, orang tidak menghasut dan hidup aman damai, maka bolehlah dihapuskan.

"Pada saya Akta Hasutan masih diperlukan dan perlu dikaji semula oleh kerajaan untuk mengelakkan mereka yang menghasut ini boleh diambil tindakan ke atas mereka," katanya kepada Bernama di sini.

LAHIRKAN RAMAI GOLONGAN PELAMPAU

Benarkan ketiadaan Akta Hasutan 1948 akan melahirkan lebih ramai golongan pelampau?

Dr Mahathir berkata tanpa akta seumpamanya, pelampau di kalangan rakyat bebas mengkritik raja dan sistem beraja secara terbuka, dan akhirnya membuat desakan dan tuntutan supaya institusi raja dihapuskan.

Bagi Ahmad Atory, Akta Hasutan 1948 lebih kepada pelindung kepada perkara-perkara sensitif seperti hak sesuatu kaum yang cuba dibangkitkan mana-mana pihak, manakala undang-undang baharu yang cuba dilaksanakan kelak lebih bersifat mementingkan kebebasan bersuara.

"Melalui akta baharu ini, yang saya perhatikan ialah sesiapa sahaja meskipun berbeza ideologi politik bebas memberi pandangan dan mengkritik dalam apa jua isu dan tidak akan diambil tindakan.

"Soalan saya, jika seseorang itu mempromosikan ideologi komunis, apakah boleh akta baharu ini mengambil tindakan? Seperti yang kita tahu, kalau di bawah Akta Hasutan, sudah tentu pihak ini tidak terlepas," katanya.

PELENGKAP AKTA HASUTAN

Ahmad Atory berkata akta baharu - Rang Undang-undang Harmoni Nasional, Rang Undang-undang Perpaduan Nasional dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional - sekiranya tidak menyentuh dan menjejaskan perkara seperti hak istimewa orang Melayu, haruslah disokong dan dilihat sebagai pelengkap kepada Akta Hasutan sedia ada.

"Kalau ia tidak memberi ancaman kepada peruntukan perlembagaan, ia tidak menjadi masalah... cuma kita risau apabila ia menjejaskan hak kaum tertentu," katanya.

No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"