Jadi Geng OKC

Thursday, July 11, 2013

Yang Wajib Kita Ketahui Hak Istimewa Orang Melayu Malaysia & Singapura



Hak istimewa orang-orang Melayu sebagai penduduk asal Singapura ada di nyatakan dalam perlembagaan negara itu yang menyebut,

(1) Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk sentiasa menjaga kepentingan kaum minoriti dan agama mereka di Singapura.

(2) Kerajaan hendaklah menjalankan fungsinya dengan mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu, yang merupakan orang asal Singapura, dan dengan itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi, menjaga, menyokong, memupuk dan menggalakkan , kepentingan politik mereka, pendidikan agama, ekonomi, sosial dan budaya dan bahasa Melayu.”

Dalam konteks kerajaan Malaysia pula, Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera.

Melalui Artikel 152 Perlembagaan Singapura dan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia, hak orang Melayu sebagai penduduk asal dipelihara tanpa mengambilkira sama ada orang Melayu tergolong dalam kumpulan majoriti atau minoriti . Sekiranya di Singapura, sokongan kaum Melayu dilihat kritikal bagi sesebuah parti politik untuk menjadi parti yang memerintah, sebaliknya di Malaysia pula sokongan kaum-kaum minoriti Cina dan India turut memainkan peranan yang sama.

Demi survival politik, parti PAP yang menjadi pemerintah Singapura sekarang dilihat cenderung mempertahankan hak-hak orang Melayu. Peranan PAP ini boleh dilihat apabila NMP Viswa membangkitkan isu supaya hak sama rata diberikan untuk semua kaum dalam satu sesi Parlimen pada tahun 2009.

Walaubagaimanapun isu yang dibangkitkan itu dibidas oleh Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew dengan menyatakan perlembagaan Singapura itu sendiri yang telah menetapkan hak-hak istimewa orang Melayu.

http://www.asiafinest.com/forum/index.php?showtopic=211512

Sebaliknya di Malaysia, gabungan parti-parti pembangkang DAP, PAS dan PKR pula cenderung berbicara tentang soal kesamarataan di antara kaum dan agama. Parti PAS dan PKR yang majoriti ahlinya kaum Melayu pula dilihat boleh bertoleransi dengan konsep Malaysia Malaysian yang menjadi asas perjuangan parti majoriti kaum Cina, DAP.

Sikap toleransi ini mungkin berpunca dari kesedaran bahawa kebarangkalian untuk gabungan DAP, PAS dan PKR mengambil alih pemerintahan negara adalah dengan mendapat sokongan kaum-kaum minoriti di negara ini kerana kaum majoriti Melayu telah terpisah kepada dua blok dari segi sokongan politik.

Walaupun soal hak keistimewaan orang Melayu kerap dipersoalkan oleh kaum-kaum lain di kedua-dua buah negara Malaysia dan Singapura. Asas pembentukan negara dengan memahat kedudukan hak istimewa orang Melayu telah menjadi 'penyelamat' supaya kaum Melayu tidak dipinggirkan di negara sendiri.

Hak istimewa orang Melayu di Singapura tidak sama dengan apa yang kita namakan sebagai 'affirmative action' kerana walaupun Melayu di Singapura adalah golongan minoriti tetapi 'kedudukan istimewa' diberi berdasarkan pengiktirafan yang tertulis dalam perlembagaan negara itu melalui Artikel 152 menghormati hak-hak istimewa orang Melayu sebagai penghuni asal .

Affirmative action' ialah merujuk kaedah yang digunapakai untuk memperbetulkan ketidak seimbangan di antara kumpulan-kumpulan yang berlainan.

Di Malaysia pula hak keistimewaan orang Melayu seperti yang dinyatakan dalam Artikal 153 disokong oleh 'affirmative action' iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan kerajaan selepas peristiwa 13 Mei 1969. DEB diperkenalkan bagi mengecilkan jurang perbezaan ekonomi di antara kaum. Setelah 44 tahun dilaksanakan, DAP merupakan antara parti politik yang lantang membantah supaya dasar ini diteruskan.

Berbeza dengan Malaysia, kerajaan Singapura tidak mempunyai polisi yang serupa untuk kaum Melayu di negara itu . Walaupun hak-hak keistimewaan kaum Melayu Singapura dipertahankan , kerajaan Singapura tidak memperkenalkan mekanisme yang serupa seperti DEB bagi membantu orang Melayu di negara itu terutama dari segi ekonomi . Mereka terpaksa berusaha untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain dinegara itu. Namun begitu, masih wujud desakan terhadap kerajaan Singapura supaya hak-hak istimewa ini dimansuhkan.

Melihat kepada perbandingan Malaysia-Singapura berkaitan hak istimewa orang Melayu di kedua-dua buah negara. 'affirmative action' oleh kerajaan memerintah dilihat perlu bagi membolehkan pembahagian kek ekonomi negara tidak dibolot oleh hanya kumpulan tertentu sahaja. Tidak dinafikan 'hak istimewa' kaum Melayu dijamin perlembagaan kedua-dua buah negara namun sekiranya terdapat jurang ekonomi yang luas antara kaum, mereka akan dilihat merempat di tanah air sendiri.

Hal ini boleh dirujuk dengan melihat kembali sejarah sebelum pembentukan DEB di Malaysia.  Walaupun 'hak istimewa' Melayu telah dinyatakan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957, tahap ekonomi kaum Melayu dalam tempoh itu amat menyedihkan kerana 'affirmative action' masih belum dilaksanakan. Legasi yang ditinggalkan penjajah British melalui dasar pecah dan perintah telah mewujudkaan jurang sosio-ekonomi yang luas di antara kaum. Walau pun telah mencapai kemerdekaan, momentum dari dasar yang diperkenalkan itu tetap berterusan sehinggalah berlaku peristiwa 13 Mei.

Dengan peredaran zaman dan peningkatan taraf hidup rakyat di kedua-dua buah negara, generasi muda di Malaysia dan Singapura mungkin 'terlepas pandang' dengan Artikel 152 dalam Perlembagaan Singapura dan Artikel 153 dalam Perlembagaan Malaysia. Menurut penulis blog dari Singapura, Encik Umar Abdul Hamid di dalam blog beliau ;
http://uahmarican.wordpress.com/2013/02/10/why-are-malays-special-in-singapore/

Generasi muda di negara itu mungkin tidak memahami keperluan Artikel 152 , malah mungkin tertanya mengapa ianya perlu dalam satu masyarakat berbilang kaum tanpa terlebih dahulu mengkaji sejarah disebalik penggubalan perlembagaan negara. Generasi muda kaum Melayu khususnya mungkin sudah dibiasakan untuk hidup dalam keadaan tidak 'bertongkat' di negara itu sehingga 'terlupa' tentang Artikel 152 yang termaktub dalam perlembagaan Singapura.

Perkara yang serupa berlaku pada generasi muda di Malaysia. Ada di kalangan muda-mudi bukan bumiputera dengan keras sekali mengkritik Artikel 153 yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia . Kritikan dilemparkan dalam laman media sosial seolah-olah mereka gagal memahami sejarah pembentukan negara ini. Tidak kurang juga kritikan yang dibuat oleh muda-mudi dari kalangan kaum Melayu sendiri.

Tindakan-tindakan sebegini mencerminkan kelemahan penyebaran informasi kenegaraan kepada rakyat. Hasilnya soal-soal berkaitan kenegaraan mulai dilupakan dari satu generasi ke generasi yang lain. Bezanya generasi muda Melayu Singapura ialah mereka telah dibiasakan untuk hidup tanpa 'tongkat' , namun bagi generasi muda Melayu di Malaysia adakah mereka hanya akan 'tersedar' sekiranya 'tongkat' itu dirampas ? - Sumber  

 Pesanan saya kepada semua orang Melayu "Daftarlah sebagai pengundi kerana setiap undi kita orang Melayu amat beharga"

No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"