Jadi Geng OKC

Sunday, December 5, 2010

Keluarlah dari kerangka pemikiran sempit

Sama ada dipersetujui atau tidak, kemelut politik dalam negara pada masa kini agak meruncing dan membimbangkan orang awam seperti penulis. Setidak-tidaknya itulah pandangan orang awam seperti saya.

Betapa tidaknya, kemelut perebutan jawatan dalam UMNO menjadi-jadi, sebuah parti Melayu yang mengakui mewakili masyarakat Melayu Muslim. Apakah ertinya disebalik perebutan itu? Maknanya seolah-olah tidak ada lagi mereka yang benar-benar tertonjol dan berkredibiliti untuk mewarisi kepimpinan. Semuanya merasakan mereka lebih afdhal daripada orang lain.

Dalam pandangan Islam, orang tidak boleh berebut-rebut untuk menjadi pemimpin. Samalah halnya orang tidak boleh berebut untuk menjadi imam sembahyang. Imam dalam sembahyang samalah dengan pemimpin di luar sembahyang. Tidak ada dualisme.

Jika perebutan sebegitu sengit, ertinya sudah tidak ada kepercayaan di antara satu sama lain. Masing-masing merasakan mereka sama rata berada atas padang yang sama rata. Lebih merisaukan lagi jika ada yang merasuah untuk memimpin.

Ajaran Islam mengajar kita yang muda menghormati yang tua, yang tua pula menyayangi yang muda. Kalau “fatwa” ini dipakai, orang muda malu untuk merebut daripada orang tua, dan yang tua pula sedia menyerahkan kepada yang muda tetapi yang lebih berwibawa. Inilah padahnya bila politik kita sudah begitu taksub kepada demokrasi liberal. Semangat syura yang dianjur oleh Islam sudah hilang.

Di luar UMNO pula, Pakatan Rakyat menjadi pembangkang yang taksub akan meruntuhkan kredibeliti UMNO tanpa mengira siapa yang naik. Tidak bolehkah satu kompromi, atas alasan menjaga bangsa, agama dan negara dalam gelodak ekonomi dunia yang merudum hari ini, mereka duduk berbincang secara tenang mencari jalan penyelesaian. Politik barat yang bersifat “sanggup membunuh dan dibunuh” satu sikap politik adu domba yang menakutkan. Masing-masing berpegang “Kalah jadi abu dan menang jadi arang”.

Semua pihak seharusnya melihat asas iman sebagai teras politik. Ia membawa makna kasih sayang dan juga toleransi yang cukup tinggi. Kadangkala kita membaca ayat itu dan hadis ini, tetapi apabila sampai kepada terjemahan praktis dalam kehidupan, semua pihak membelakangkan ajaran al-Quran dan Sunnah nabi. Saya cukup risau dengan keadaan politik yang ada; politik membunuh karekter dan membunuh secara fizikal melalui beberapa cara. Akhirnya tidak ada lagi pemimpin yang bersih. Semuanya sudah kotor.

Kita kadangkala seperti hilang rasa malu dan hormat sesama kita. Malah masing-masing sudah hilang malu dan hormat kepada diri sendiri, apalagi kepada pihak lawan. Nabi bersabda; “Jika sudah hilang malu, buatlah apa sahaja yang kamu mahu”! Ingatlah kembali kepada ajaran agama secara sebenar, sebelum nasi menjadi bubur. Allah menjanjikan jika satu kaum itu gagal membawa keadilan dan kesaksamaan, Allah boleh menggantikan kaum lain pula. Inilah yang berlaku dalam sejarah. Pelajarilah cerita kaum Thamud dan kaum `Ad, malah kaum Fira`un, ia bukan sekadar cerita penglipor lara atau cerita seribu satu malam, tetapi kesah benar yang perlu dijadikan iktibar.

http://mindamuslim.com/

No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"