Jadi Geng OKC

Join OKC Networkedblog Team

Sunday, November 21, 2010

Logo, Warna Lambang BN Akan Berubah – Najib

Logo dan warna dacing pada lambang Barisan Nasional (BN) mungkin akan berubah. Ia antara kejutan yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Konvensyen BN, 28 November ini.

“Perubahan-perubahan lain akan kita umumkan pada hari konvensyen itu. Ada sedikit perubahan dari segi logo dan warna. Saya akan umum pada hari itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Najib berkata, segala persiapan konvensyen yang akan diadakan di Wisma MCA di sini sedang berjalan lancar mengikut jadual.

Temanya nanti, katanya, akan berkisar kepada konsep mendahulukan rakyat selaras dengan gagasan nasional, 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Ini kerana, jelas beliau, dalam amalan demokrasi berparlimen, rakyat merupakan kelompok terpenting dan BN sebagai parti memerintah mestilah sanggup berkhidmat, berjuang, membela rakyat pada setiap masa dan ketika.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kemenangan BN merampas kembali Galas dan mengekalkan kemenangan di Batu Sapi tidak akan sesekali meletakkan parti dalam zon selesa.

“Memang kejayaan itu membawa maksud sokongan rakyat kepada BN sedang meningkat. Bagaimanapun Dewan Tertinggi BN mengambil ketetapan bahawa usaha melakukan pembaharuan dan perubahan secara positif akan terus digiatkan.

“Usaha menambah keyakinan rakyat akan diteruskan iaitu selaras dengan dasar BN yang mengutamakan rakyat, akan terus menjayakan pelbagai program dan aktiviti yang dapat mendekati dan menyentuh hati rakyat,” katanya.

Najib berkata, secara sebulat suara semua parti komponen juga akan memastikan sebarang permasalahan sama ada antara parti komponen atau sesama sendiri dibendung bagi mendorong kepada sifar masalah.

“Apabila kita dapat capai perkara ini, maka rakyat akan lebih yakin bahawa BN bukanlah parti yang suka berbalah sesama sendiri tetapi sebuah parti yang akan terus bergerak, berjuang dan berusaha demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"