Jadi Geng OKC

Join OKC Networkedblog Team

Saturday, October 9, 2010

Penjelasan Penuh Rahimi

Selepas membuat laporan polis Rabu lalu berkaitan dakwaan dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah pada 2008 termasuk membabitkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas setiausaha sulit Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut, Muhamad Rahimi Osman hari ini tampil menjelaskan mengenai tindakannya itu.

Satu lagi akuan bersumpah yang didakwanya telah dipaksa ditandatangani adalah melibatkan kes fitnah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Berikut adalah teks penuh penjelasan beliau yang dihantar menerusi e-mel kepada media di sini:

1. Mengapa perlu ada gangguan ketika saya hendak bercakap di sidang media? Kenapa ada pihak yang takut dengan apa yang saya nak cakap? Mereka boleh buat sidang akhbar, tiada siapa yang nak ganggu. Kalau saya diberi peluang pun saya tak akan ganggu, itu hak mereka untuk mengatakan apa yang mereka mahu. Tapi bila saya nak buat sidang akhbar, saya telah diganggu? Mana kebebasan bersuara yang diperjuangkan oleh PKR selama ini? Walau bagaimanapun, saya tidak ingin menuduh mana-mana pihak sebagai dalang insiden buruk yang berlaku kelmarin.

2. Saya juga amat gembira dan berbangga, masih ada lagi pemimpin PKR seperti Datuk Zaid Ibrahim yang benar-benar mendokong perjuangan parti. Zaid bersikap lebih terbuka dan menghormati undang-undang dan hak saya sebagai rakyat Malaysia. Sikap inilah yang harus dipegang oleh pemimpin PKR dan juga ahli jika mahu PKR maju ke hadapan dan digeruni. Bukannya tak habis-habis menuduh orang yang tidak bersetuju dengan mereka, dibayar dan dibeli. Setiap manusia mempunyai maruah diri, bukan mudah semua orang nak dibayar dan dibeli. Anwar bukan maksum, begitu juga dengan pemimpin yang lain. Maka, sesiapa sahaja berhak untuk mengkritik atau menegakkan kebenaran. Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat atau dendam kepada PKR dan ahli-ahlinya. Dan saya masih lagi memegang kuat dan menghormati perjuangan parti.

3. Saya juga berpendapat, jika benar dakwaan mereka bahawa orang yang membuat kacau sewaktu sidang media itu bukan dihantar oleh mereka, maka PKR sebagai sebuah parti yang mendokong kebenaran, hak asasi, kebebasan bersuara dan keadilan harus mengambil tindakan kepada ahli-ahli parti yang bertindak seperti itu. Ini memandangkan ada pihak yang melaporkan salah seorang dari mereka yang membuat kacau adalah calon Naib Presiden PKR.

4. Saya tidak boleh mendedahkan kandungan SD (akuan bersumpah) terbaru yang saya buat, saya tidak mahu menganggu perjalanan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah. Cuma yang saya nak tekankan di sini, saya langsung tidak mempunyai hak untuk mengatakan sama ada Anwar bersalah atau Saiful membuat tuduhan palsu. Bagi saya, sehingga keputusan mahkamah dibuat, masih tiada pihak yang boleh dituduh bersalah.

5. Saya tidak berminat untuk sebarang permainan atau percaturan politik mana-mana pihak. Saya cuma membuat laporan ini bagi membetulkan kesilapan yang pernah berlaku dahulu. Saya juga risau jika akuan bersumpah yang saya buat sebelum ini akan digunakan untuk memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri. Baik atau buruk Perdana Menteri, kita tidak boleh menuduh apa yang dia tidak lakukan. Kita tidak boleh menuduh seorang yang baik seperti imam contohnya, melakukan sesuatu yang tidak dilakukan, begitu juga kalau seorang pencuri, walaupun dia pencuri, tetapi dia tidak merogol, maka kita tidak boleh menuduh dia merogol.

6. Saya mengaku bahawa saya mengambil masa yang lama untuk membuat laporan. Ini kerana pertamanya, saya menunggu keputusan kes rayuan Anwar bagi menggugurkan kes beliau yang mana keputusannya baru sahaja dapat baru-baru ini. Keduanya, saya mengambil masa yang lama untuk memikirkan perkara ini memandangkan keadaan huru-hara dan ancaman yang akan saya terima daripada pelbagai pihak. Ketiganya, apabila saya diberitahu oleh Latheefa Koya (peguam) pada beberapa bulan lalu bahawa SD sebelum ini telah hilang dan dia meminta saya untuk menandatangani SD yang baru, saya mengambil peluang ini untuk tidak mengulangi perkara dahulu.

7. Saya juga menghormati hak mana-mana pihak yang ingin mengemukakan saman kepada saya. Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, maka setiap rakyat mempunyai hak itu. Saya bersedia untuk memberi kerjasama dan bercakap benar.

8. Saya harap, apa yang saya lakukan boleh memberikan keadilan kepada semua pihak. Dan saya tidak mahu isu ini terus menjadi alat politik mana-mana pihak.

No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"