Jadi Geng OKC

Friday, October 22, 2010

Orang Melayu Perlu Manfaatkan Hak Dan Kedudukan Istimewa Dalam Perlembagaan



KUALA LUMPUR, 22 Okt - Orang Melayu akan menjadi lebih hebat jika mereka berusaha bersungguh-sungguh memajukan diri dan memanfaatkan hak dan kedudukan istimewanya di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Penasihat Undang-Undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Katanya lebih hebat lagi seseorang Melayu itu jika mempunyai nilai tambah iaitu memiliki ilmu pengetahuan selaras dengan perkembangan zaman.

Oleh itu, menurutnya orang Melayu perlu keluar dari zon selesa yang dikecapi sejak merdeka untuk bersama-sama bersaing dengan kaum lain di negara ini.

"Kenyataan peringatan itu (oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam) adalah untuk menyedarkan orang Melayu. Jadi janganlah guna alasan bahawa hak dan kedudukan istimewa yang dilindungi, maka kita tidak perlu lagi berusaha," katanya kepada Bernama di sini.

Semalam, Najib yang juga Perdana Menteri semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno ke-61 berkata kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta "terkunci kemas" dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dalam sidang media semalam, berkata perkara yang termaktub dalam perlembagaan yang menjamin hak dan kedudukan orang Melayu tidak akan menjamin bangsa itu maju sebaliknya mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk maju.

Pemerhati politik Prof Madya Shaharuddin Badaruddin turut bersetuju dengan kenyataan Presiden dan Timbalan Presiden Umno bahawa orang Melayu mesti berusaha bersungguh-sungguh memajukan diri dan tidak hanya mengharapkan keistimewaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk berjaya.

"Perlembagaan adalah asas untuk mempertahankan hak dan kedudukan istimewa orang Melayu. Memang orang Melayu kalau nak berjaya, kenalah berusaha lebih dari sepatutnya.

"Macam juga orang main bola. Kalau kita asyik bertahan sahaja, tak menyerang macam mana kita nak menang. Begitu juga dengan apa yang ada dalam Perlembagaan, kalau tidak dimanfaatkan, macam mana orang Melayu nak berjaya," katanya ketika dihubungi.

Beliau, yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berpendapat bahawa tugas mempertahankan hak dan kedudukan istimewa orang Melayu bukan sahaja terletak di atas bahu rakyat, malah ia turut melibatkan semua pemimpin sama ada di peringkat kerajaan mahu pun pembangkang.

"Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankannya," katanya.

Sementara itu, veteran Umno Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata hak dan kedudukan istimewa orang Melayu seperti yang terpahat kemas dalam Perlembagaan sebenarnya memberi kemudahan kepada bangsa itu untuk membolehkan mereka bersaing dengan kaum lain di negara ini.

Katanya, dengan kemudahan yang diberikan menerusi perlindungan dalam Perlembagaan, orang Melayu haruslah sanggup berubah dan berusaha untuk menjadi sebuah bangsa yang sebelum ini dilihat sebagai pemalas kepada bangsa yang berjaya.

"Peruntukan dalam perlembagaan untuk orang Melayu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita (orang Melayu) terus malas dan leka. Melayu bukan bangsa pemalas dan dengan cabaran yang ada pada hari ini, kita kena bangun untuk maju.

"Kita tak boleh lagi hanya bergantung kepada subsidi untuk berjaya. Kalau bangsa lain boleh, kenapa kita tak boleh. Kita kena fikir positif dan cabar diri kita untuk maju. Kalau tidak kita akan jauh ketinggalan dari bangsa-bangsa lain di negara ini," katanya.

Abu Zahar, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata untuk memajukan bangsa, orang Melayu sendiri mesti memahami apa yang terkandung dalam Perlembagaan mengenai hak dan kedudukan mereka.

Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya satu mata pelajaran berkaitan Perlembagaan diperkenalkan bagi memastikan semua rakyat di negara ini memahami dan menghayati semangat perlembagaan supaya tidak ada lagi perkara berbangkit mengenai perkara itu pada masa akan datang.

No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"