Jadi Geng OKC

Join OKC Networkedblog Team

Wednesday, June 16, 2010

PAS Sudah Lupa..

Betapa seriusnya apabila manusia bersikap mudah lupa – bukan saja lupa kepada kenyataan yang pernah dibuat, malah cuba mengajar orang lain berbuat baik sedangkan dia sendiri gagal melaksana apa yang cuba diajar.

Muktamar PAS ke-56 berakhir semalam membuktikan betapa mudahnya membelasah lawan kiri dan kanan, tetapi akhirnya nyata ia ibarat mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Enam usul diluluskan sebulat suara dan satu daripada usul itu mendesak kerajaan memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.

Usul ini asalnya daripada cadangan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan satu agensi khusus bagi menguruskan perjudian memang tidak boleh dielakkan sepanjang pertandingan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung, nyata hanya memberi tamparan balik kepada PAS yang masih membenarkan perjudian dijalankan di negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

Mungkin ada baiknya kita melihat kepada pentadbiran Islam PAS di Kelantan, walaupun judi nombor ekor tidak dibenarkan, judi berbentuk loteri Big Sweeps terus dibenarkan. Menurut seorang blogger, kedai yang menjadi ejen Big Sweeps terus dibenarkan menjual tiket loteri di premis mereka di bawah dasar ‘Membangun Bersama Islam’.

Bagaimana pula pendirian PAS dengan pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, yang masih membenarkan perjudian dan penjualan arak.
Di Selangor, tindakan pemimpin PAS, Datuk Dr Hassan Ali menegur perjudian dan penjualan arak yang berleluasa di negeri itu, mencetus pertelingkahan di antara parti Islam ini dan DAP, sehingga satu rundingan serius diadakan bagi meleraikan perselisihan yang berlaku. Pemimpin PAS itu tidak lagi menimbulkan sebarang isu yang secara jelas bertentangan dengan pendirian Islam.

Justeru, amat buruk apabila PAS dengan lantang mengutuk pentadbiran BN yang ditunjangi UMNO sebagai tidak Islamik semata-mata kerana ia mahu mengekang perjudian ‘bawah tanah’ di kalangan bukan Islam, tetapi menutup mata terhadap pemerintahan Islam PAS di Kelantan yang terus membenarkan penjualan arak kepada bukan Islam dan mendapat faedah apabila mengenakan cukai ke atas premis yang menjual arak.

“Bagi penjualan arak, ia hanya dibenar dijual oleh orang bukan Islam kepada golongan itu, kerana jika ia diharamkan sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam untuk menikmatinya,” kata Nik Aziz pada 19 November 1992.

Apabila dikritik mengenai tindakan itu, Nik Aziz pada 26 November, 1994, pernah dipetik sebagai berkata: “Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan lain-lain projek pembangunan.”

Justeru, adalah lebih baik pemimpin PAS mendengar nasihat ahli akar umbinya supaya jangan terlalu mencaci lawan, sebaliknya membetulkan landasan perjuangan ke arah mewujudkan sebuah negara Islam yang semakin kabur.

“PAS sebenarnya masih ada kelemahan. Kadang-kadang apabila kita berada dalam keadaan memerintah sesebuah negeri, memegang kuasa dan dipandang orang, tetapi niat dan perlakuan kita menunjukkan seolah-olah kita tidak perlu merujuk kepada jemaah dalam membuat keputusan. Bagaimana ahli mahu mengikut jemaah kalau pemimpin tidak memberikan contoh terbaik,” tegur perwakilan dari Perlis ketika perbahasan.

Ramai ahli PAS yang ditemui amat skeptikal dengan tindakan kepemimpinan utama parti itu membuka pintu begitu luas kepada orang bukan Islam, apa lagi membenarkan mereka menjadi calon PAS (kerana membenarkan calon bukan Islam menggunakan logo PAS bertanding pada pilihan raya akan datang).

Menginsafi keghairahan barisan kepemimpinan PAS menakluk Putrajaya, ada menasihatkan kepemimpinan tertinggi parti itu jangan seperti melukut di tepi gantang, parti saja besar berbanding – PKR dan DAP – tetapi suara tak kedengaran.

“Kita berharap pemimpin (PAS) tahu apa yang mereka lakukan, kerana kita membuka pintu terlalu luas kepada orang bukan Islam, se dangkan sekutu kita (PKR dan DAP) adalah dua parti yang mempunyai keahlian bukan Islam.

“Mengapa kita mahu menaikkan kemarahan bangsa Melayu terutama yang menjadi penyokong tegar kita dengan sewenang-wenangnya. Mereka tidak faham dengan pendirian kepemimpinan ketika ini. Apa lagi ketika bangsa Melayu yang juga umat Islam negara ini insaf dengan tekanan serius yang diberi bangsa lain. Kita memang mahu menang tetapi tidaklah sampai menggadaikan hak anak bangsa sendiri,” kata seorang ahli PAS.

Ramai ahli dan penyokong PAS berpendapat lebih baik kepemimpinan tertingginya meleraikan dulu kemelut perpecahan dalaman yang tidak nampak tetapi amat terasa, melihat dengan serius hubungan Ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim nyata mempunyai hubungan dengan kepemimpinan Yahudi di gelanggang antarabangsa, menyelesaikan dulu masalah pembangunan dan sosial di dalam negeri yang diperintah kerana mencaci orang lain, isu di tempat sendiri sebenarnya masih tidak terbela.

Kelantan sebagai tuan rumah Muktamar ke-56 ini menghimpunkan golongan ulama dan bijak pandai agama, tetapi pada masa sama, masih gagal meningkatkan pendapatan rakyatnya ke tahap memuaskan, golongan lelakinya yang malas dan bergantung kepada wanita,gejala dadah serta masalah sosial terutama di kalangan remaja semakin serius, manakala proses pembangunan wajar lebih menyeluruh ke seluruh pelusuk negeri.

PAS secara keseluruhan juga wajar menonjolkan kewibawaan sebagai parti paling besar di kalangan pakatan pembangkang, dan benar seperti kata perwakilannya ‘jangan menjadi melukut di tepi gantang.’

Bagaimana mereka mahu menjadi alternatif kepada UMNO sebagai pejuang bangsa Melayu, kalau mereka akhirnya sekadar menjadi ‘pak turut’ kepada PKR dan DAP.

No comments:

PENGUMUMAN

Dalam Memperjuangkan Martabat Bangsa dan Maruah Melayu
Jejaka Berharapkan Kepada Rakan-Rakan Sepanji Bersatu Demi "Amar Mak'ruf Nahi Mungkar!!"